Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Monday, July 6, 2009

Papier Mache



Apa itu papier mache?

Sebagaimana buku skrap, tentu anda pernah mendengar tentang teknik ini, atau mungkin pernah membuatnya semasa di sekolah dahulu, dan menganggap ia sebagai hanya salah satu cabang seni untuk membina kreativiti anak-anak. Tahukah anda pelbagai barangan hiasan dan kraf bermutu dan unik boleh dihasilkan dengan teknik papier mache?

Papier mache berasal dari Bahasa Perancis lama yang bermaksud kertas yang dikunyah, menggambarkan bahan yang digunakan untuk kraf ini iaitu kertas yang telah dihancurkan sehingga lumat.

Apakah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat papier mache?

1. Kertas – sebaik-baiknya kertas suratkhabar yang dikoyak dengan tangan menjadi jaluran 1 x 4 inci (secara kasar)
2. Gam pelekat
3. Berus cat
4. Plastik pelapik
5. Cat warna
6. Peralatan yang dikhususkan untuk papier mache dan tidak dijadikan untuk menyediakan makanan bagi mengelak keracunan seperti mangkuk plastik dan blender


Persiapan sebelum memulakan projek

Adalah dinasihatkan untuk anda membuat persiapan berikut sebelum memulakan projek anda:
1. Sediakan bahan-bahan kertas untuk digunakan sama ada tanah liat kertas atau kertas surat khabar yang telah dicarik-carik menjadi jaluran kertas

2. Lindungi permukaan kerja dengan alas surat khabar atau plastik

3. Sediakan sebuah baldi air sabun dan berus untuk membersihkan tangan anda sekiranya anda perlu menjawab telefon atau minum air

4. Bersihkan peralatan dan bahan-bahan yang anda gunakan untuk membuat papier mache semasa masih basah atau lembab kerana apabila ia kering kerja-kerja akan memjadi agak sukar.


Peringatan sebelum memulakan kerja anda

Sebelum memulakan kerja-kerja menampal untuk projek papier mache anda, ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian:
1. Lakukan kerja anda dengan sedikit-sedikit, jangan cuba menyiapkan semua projek anda dengan sekaligus dalam masa 24 jam

2. Lapisan kertas yang sedikit mudah kering, oleh itu anda perlu menambah lapisan apabila lapisan sebelumnya telah kering

3. Membuat terlalu banyak lapisan akan menjadikan kraf anda terlalu basah, lembik dan berat.

4. Jika anda masih baru, biasakan diri anda dengan teknik papier mache sebelum merancang untuk menyiapkan projek anda dalam tempoh yang singkat


Jenis kertas untuk digunakan

Kertas yang berlainan memberikan tekstur dan ketahanan yang berbeza. Pelbagai kertas boleh digunakan termasuk kertas surat khabar, beg kertas dari kedai runcit, kertas majalah, kertas tisu dan kertas napkin. Pilihan utama untuk papier mache jenis tampalan adalah kertas surat khabar.

Membuat papier mache dengan tampalan jaluran kertas adalah lebih kemas jika kertas dikoyakkan dengan tangan berbanding dengan menggunakan gunting atau pisau. Lebar jaluran kertas yang digunakan untuk papier mache berganting kepada saiz projek yang dibuat.


Membuat pelekat untuk papier mache

Terdapat pelbagai cara untuk membuat pelekat papier mache

Teknik 1 : Gam tepung berasaskan air
Cara-caranya:
1. Masukkan ¼ cawan tepung yang diayak ke dalam air sejuk dan dikacau sehingga menjadi likat dan tiada ketulan tepung
2. Masak 5 cawan air di dalam periuk sehingga mendidih, dan campurkan adunan likat tepung tadi.
3. Kacau selama 3 minit sehingga menjadi pekat dan biarkan sehingga sejuk

Untuk mendapat gam yang lebih pekat, gunakan 1 cawan tepung untuk membuat gam.
Bagi mengelakkan kulat, anda boleh campurkan pencegah kulat seperti garam, klorin atau pencuci pinggan untuk memanjangkan jangka hayat gam tersebut

Teknik 2: Gam untuk kertas dinding
Ia memberikan hasil yang lebih tahan lama dan mengelakkan berkulat berbanding dengan pelekat daripada tepung, tetapi kurang sesuai untuk kanak-kanak jika dimasukkan ke dalam mulut mereka.
Ikut arahan pada bekas seperti yang disarankan oleh pengilang untuk mencampurkan air.
Kurangkan air pada bancuhan untuk mendapatkan gam yang lebih pekat.

Teknik 3: Gam PVA
Tambahkan sedikit air kepada gam PVA tersebut untuk menjadikannya gam papier mache


Membentuk kraf papier mache anda
Bahan-bahan untuk membentuk rupa asas
Pelbagai medium boleh digunakan sebagai bentuk asas seperti belon, beg plastik yang disumbat kertas, kotak, jaringan dawai yang dibentuk, botol plastik dan gabus putih styrofoam. Anda hanya perlu menyambungkan bentuk yang pelbagai menggunakan masking tape untuk mendapat bentuk akhir yang anda inginkan sebagai bentuk asas papier mache anda Pilihan medium adalah bergantung kepada bentuk dan kesesuaiannya untuk papier mache anda.
Antara medium yang boleh digunakan sebagai bentuk asas papier mache adalah:

1. Belon
Belon adalam murah dan sesuai digunakan sebagai acuan kerana ia tidak memerlukan bahan pencegah lekat untuk menanggalkan bentuk papier mache tadi kerana ia hanya diletupkan Ia sesuai sekiranya anda ingin membuat bentuk bulat atau bujur kepada papier mache anda.

2. Kotak kadbod.
Ianya boleh dipotong untuk digunakan sebagai bentuk tanbahan kepada bentuk asas, contohnya sebagai telinga atau hidung kepada bentuk muka yang ingin anda hasilkan. Atau juga sebagai tangkai kepada bentuk cawan yang ingin anda hasilkan. Sekiranya anda ingin menjadikan kotak sebagai bentuk asas, anda perlu ambil kira kemungkinan kotak anda akan menjadi lembik dan rebah sekiranya lapisan papier mache yang basah ditampal ke atas kotak kadbod tadi, anda boleh mengukuhan dahulu bentuk kotah tadi, menggunakan kertas yang disumbat kedalamnya atau menambah struktur kayu atau besi di dalamnya sebagai rangka.

3. Gabus polisterin
Disebabkan ianya ringan dan tidak terpengaruh dengan air, gabus polisterin amat sesuai dijadikan bentuk asas. Di samping itu anda boleh ukir bongkah gabus anda untuk mendapatkan bentuk yang anda ingini.

4. Jaringan besi.
Ia terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz, dan anda boleh memilih yang bersesuaian untuk projek anda. Anda juga boleh bentukkan bentuk asas menggunakan kertas atau gabus polisterin dan kemudian membalutkannya dengan jaringan besi (dapatkan jenis yang mudah dilentur) sebelum menampalkan lapisan papier mache untuk mendapatkan struktur yang lebih kuat.

5. Mangkuk dan pinggan
Sekiranya anda ingin menghasilkan pinggan atau mangkuk papier mache, adalah mudah untuk menggunakan bentuk sebenar pinggan atau mangkuk, tetapi anda perlu gunakan bahan pencegah lekat untuk menanggalkan dengan mudah bentuk papier mache anda daripada mangkuk atau pinggan tadi

Agen mencegah lekat
Untuk mengelakkan papier mache anda melekat kepada bentuk yang digunakan, anda boleh gunakan kertas yang dilembabkan (tanpa gam), aluminium foil, plastik atau petroleum jelly pada bentuk yang digunakan sebelum membuat papier mache anda.

Pelbagai teknik papier mache

1. Teknik papier mache tampalan
Cara-cara membuatnya:
a) Sapukan gam pada kedua-dua permukaan jaluran kertas dengan berus

b) Tampalkan jaluran kertas pada objek yang digunakan sebagai bentuk (atau acuan) satu demi satu.
c) Urut dengan jari untuk membuang gelembung udara yang terperangkap di dalam lapisan kertas tadi

d) Susunkan lapisan jaluran kertas dengan bersilang-silang untuk mendapatkan bentuk yang lebih kukuh

e) Buat 2 atau 3 lapisan sahaja dan biarkan kering kerana lapisan yang terlalu tebal akan melambatkan proses pengeringan

f) Apabila telah kering, tambah lapisan lagi dengan cara yang sama sehingga mendapat ketebalan lapisan kertas yang anda inginkan

Sekiranya anda ingin membuat bentuk tambahan pada objek utama seperti tangkai dan pemegang, anda boleh buatkan bentuk asas dapipada kadbod dan ditampal kepada objek utama menggunakan masking tape. Kemudian tampalkan lapisan jaluran kertas sehingga mendapat bentuk yang anda inginkan.

Setelah kering, sapukan 2 lapisan cat emulsion untuk menjadikan papier mache anda kalis air dan mengelakkankan dari kertas suratkhabar anda tadi kelihatan.
Anda boleh gunakan cat primer untuk lapisan asas yang lebih keras sebelum mengecat dengan cat warna pilihan anda.


2. Teknik papier mache tanah liat

Cara-caranya:
a) Rendam kertas suratkhabar yang telah disiat-siatkan ke dalam bekas air semalaman.

b) Toskan dan masukkan dalam air yang sedang mendidih selama lebih kurang 30 minit supaya kertas hancur menjadi fiber.
c) Toskan kertas dan buangkan air tadi.
d) Hancurkan kertas dengan menumbuk atau mengacau supaya pulpa kertas hancur menjadi fiber kertas.

e) Tambahkan gam sehingga menjadi seperti tanah liat.

Pelbagai bahan boleh ditambah untuk mendapatkan tanah liat kertas yang lebih baik seperti kapur, cat latex, habuk kayu atau “drywall joint compound” untuk menjadi sebagai binder dan stabiliser.

Teknik tanah liat papier mache yang lebih kompleks
(Teknik ini tidak sesuai untuk kanak-kanak tanpa bimbingan orang dewasa)

a) Teknik untuk menghasilkan tanah liat kertas seperti barangan tembikar

Anda perlukan:
½ gulung kertas tisu tandas putih dari mutu yang baik
1 sudu besar minyak linseed
2 sudu besar gam penampal kertas dinding (wallpaper paste)
4 sudu besar gam PVA (gam berwarna putih)
1 sudu besar klorin (bleach)

Siat-siatkan kertas tisu dan campurkan dengan bahan-bahan yang lain.

b) Teknik untuk tanah liat kertas yang lebih kuat (hard mache)

Anda perlukan
- Kertas surat khabar
- Air
- Habuk kayu (sama sukatan dengan kertas)
- 2 cawan gam PVA
- Kapur (separuh sukatan kertas tadi) sebagai filler
- 2 sudu besar minyak linseed* untuk menambahkan ketahanan
- Gam pelekat kertas dinding
- 1 sudu besar klorin (bleach) untuk mencegah kulat
*Anda juga boleh sapukan minyak linseed apabila tanah liat telah kering.

Cara-cara membuatnya:
(i) Koyakkan kertas suratkhabar dengan tangan dengan saiz lebih kurang 1-2 inci persegi

(ii) Isikan kertas ke dalam periuk dan penuhkan dengan air sehingga lebih kurang dua inci dari paras atas periuk (mengelakkan air melimpah bila menggelegak) dan panaskan sehingga 3 jam.
(iii) Gunakan alat gerudi (drill) yang disambungkan dengan alat pembancuh kuih (dikhaskan untuk papier mache dan tidak digunakan untuk membuat kuih)
(iv) Toskan air menggunakan jaringan halus atau kain apabila air sudah sejuk


Dapatkan grinder yang dikhaskan untuk papier mache (jangan campurkan dengan alat untuk membuat bahan makanan anda). Hancurkan sedikit demi sedikit kertas yang telah anda hancurkan tadi. Simpankan kertas yang telah dilumatkan tadi ke dalam beg plastik dan simpan sehingga anda ingin menggunakannya

Apabila anda ingin membuat tanah liat kertas tadi, campurkan dengan bahan-bahan lain.
Campuran tersebut agak liat untuk dikacau, jadi anda perlukan tenaga yang lebih untuk mengacau




Membuat papier mache yang kalis air
Anda boleh gunakan pelbagai produk seperti urethane, varnish, shellac untuk menjadikan papier mache anda kalis air. Anda perlu baca arahan pada bekas produk tentang cara menggunakannya kerana sesetengah produk mengeluarkan bau dan wap yang boleh membahayakan. Untuk mendapatkan hasil papier mache yang tahan cuaca (contohnya untuk diletakkan di laman anda), anda boleh gunakan marine varnish yang digunalkan untuk disapu pada bot.
Anda boleh dapatkan hasil kajian Jackie Hall dalam artikelnya “Waterproofing Papier Mache” dalam usaha beliau mendapatkan papier mache yang kalis air dan sesuai untuk ruangan luar yang terbuka.




Mewarnakan papier mache

Cara yang paling popular untuk mewarnakan papier mache adalah cat acrylic kerana impak warna dan ketahanannya.

Sekiranya anda menggunakan cat air seperti cat poster, anda perlu gunakan varnish yang tidak berasaskan air kerana cat anda akan menjadi comot.

Sebelum menggunakan cat anda perlu sapu lapisan pelindung (seal) pada papier mache anda bagi mengelakkan cat meresap ke dalam lapisan papier mache anda.
Sekiranya anda menggunakan kertas surat khabar, adalah baik untuk menggunakan kertas putih sebahai lapisan akhir papier mache anda, atau anda sapukan primer putih sebelum mula mengecat papier mache anda.



Sumber : Stolloween, Familycrafts



Pelbagai aplikasi teknik papier mache / Kraf-kraf dari artis terkenal

Hasil-hasil karya Wendy Hartford


Hasil-hasil karya Andrey Gavrilov

Saturday, May 30, 2009

Membuat buku scrap (scrapbook)


Membuat buku skrap atau scrapbooking sering kita kaitkan dengan aktiviti seni di sekolah di mana pelbagai maklumat berkaitan dengan sesuatu topik atau tema dikumpulkan sebagai sebuah album atau buku.

Tahukan anda scrapbook atau buku skrap ini adalah satu karya seni yang mendapat perhatian ramai di Barat, contohnya untuk dijadikan album foto keluarga atau hadiah sempena sesuatu sambutan.




Mari kita lihat pelbagai contoh yang ada


Suatu masa dahulu scrapbooking diminati oleh mereka yang teliti dan penyabar dengan pelbagai medium seperti kain, butang, reben dan bahan-bahan yang remeh dan memerlukan masa yang lama. Tetapi di masa kini dengan adanya internet dan printer, menghasilkan buku skrap yang menarik tidak lagi memerlukan belanja dan masa yang banyak.


Apakah yang boleh anda hasilkan dengan scrapbook atau buku skrap?

1. Album memoir untuk sesuatu peristiwa, contohnya pembesaran anak atau cucu anda dari lahir hingga menjadi remaja, atau rumah kediaman anda dari masa anda mula mendudukinya hinggalah ke masa kini

2. Sebagai hadiah kepada ahli keluarga atau rakan anda sempena sesuatu keraian. Contohnya sempena hari perpisahan, hari kelahiran atau sambutan Hari Bapa

3. Sekadar hobi di mana anda menyimpan maklumat tentang sesuatu perkara. Contohnya sebuah koleksi keratan akhbar tentang pemimpin, artis atau ikon kegemaran anda

4. Sebagai diari atau jurnal anda yang fleksibel untuk dimuatkan dengan apa jua perkara yang mempunyai memori dalam hidup anda termasuk sajak, surat, keratan akhbar, atau apa-apa jua benda seperti perca kain dan daun kering sekalipun.

Sebenarnya tidak ada batasan untuk membuat sebuah buku skrap, kerana semuanya dibataskan oleh imaginasi anda.



Sebelum memulakan aktiviti skrapbooking anda, ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian:

1. Pastikan bahan-bahan yang anda gunakan adalah bebas dari asid. Ini kerana buku skrap anda akan disimpan untuk masa yang lama, mungkin hingga ke anak-cucu anda. Oleh itu anda memerlukan bahan-bahan yang tidak dimakan zaman termasuk yang mengandungi asid yang boleh merosakkan buku skrap anda

2. Sekiranya anda menggunakan banyak foto, pastikan anda rekodkan tarikh dan sedikit maklumat tentang gambar tersebut untuk memudahkan proses menghasilkan buku skrap anda

3. Fikirkan tema dan bayangkan rupa buku skrap anda apabila telah siap sebelum anda memulakan projek anda. Ini untuk memastikan hasilnya bukan caca-merba atau kelam-kabut dan sedap mata memandang apabila sesiapa membaca atau melihatnya

4. Fikirkan bagaimana anda ingin menyusun maklumat anda di dalam buku skrap tersebut, sama ada mengikut susunan kronologi (tarikh), tema, peristiwa atau sambutan, topik, individu (bapa, ibu, anak dll) atau apa-apa saja cara yang terfikir oleh anda . Sekiranya anda ingin lebih fleksibel, anda boleh reka buku skrap anda supaya mudah untuk anda menyusun semula maklumat di dalamnya di kemudian hari.

5. Sekiranya anda masih baru dengan buku skrap, mulakan dengan sebuah projek yang kecil sebelum anda melaburkan masa dan sumber yang banyak. Ini untuk membiasakan diri anda dengan teknik-teknik yang ada sebelum mempelajari teknik yang lebih canggih dan kompleks.

6. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan foto asal, anda boleh mengimbas (scan) ke dalam komputer anda dan mencetaknya semula. Di samping mengelakkan gambar asal rosak, anda boleh juga menggubah gambar tersebut menjadi hasil yang lebih kreatif seperti mengubah ton warna atau saiz gambar tersebut menurut citarasa dan tema buku skrap anda

7. Lawati pelbagai laman web di internet untuk mempelajari pelbagai teknik yang ada dan bahan-bahan yang anda perlukan sebelum memulakan projek anda. Di negara barat mereka mempunyai kedai khas untuk membekalkan peralatan untuk scrapbooking. Tetapi anda tidak perlukan itu semua kerana anda hanya perlu mengetahui apa yang anda perlukan dan di mana anda boleh dapatkannya di supermarket atau kedai seni dan kraf.
Antaranya adalah Craftwarehouse, Scrapbooking , Scrapbook dan Scrapbookscrapbook

Pelbagai aksesori untuk menambah seri buku skrap anda



Untuk membuat buku skrap anda perlu mengetahui teknik asas untuk menjilidkan buku dalam bentuk album.

Tekniknya adalah seperti ini:

1. Tentukan saiz muka surat yang anda inginkan. Anda boleh gunakan pelbagai kertas dan media berlainan asalkan saiz dan ketebalannya hampir sama. Untuk kulit depan dan belakang, anda perlukan kertas yang lebih tebal sebaik-baiknya kadbod.

2. Buatkan lubang di tepi untuk anda menyatukan semua mukasurat dan kulit depan dan belakang. Pastikan kedudukan lubangnya sama bagi setiap mukasurat. Anda boleh membuat 2, 3 atau 4 lubang sesuka hati anda.



3. Untuk mengikat semua mukasurat menjadi sebuah buku atau album, anda boleh gunakan reben, tali atau apa-apa bahan yang tahan lama dan tidak mudah putus.


Sumber foto: EHow


Dengan kecanggihan teknologi, scrapbooking juga telah diberi nafas baru melalui digital scrapbooking atau buku scrap digital di mana sebuah album atau buku virtual boleh anda reka menggunakan perisian komputer dan boleh anda flip atau buka setiap mukasuratnya seperti sebuah buku sebenar. Hasil karya anda kemudiannya boleh anda jadikan sebuah fail komputer yang boleh anda kongsi dengan ahli keluarga, sanak-saudara atau rakan-rakan anda. Jika anda mahu, anda juga boleh jadikannya CD atau DVD untuk anda tayangkan di TV anda menerusi pemain CD atau DVD anda.

Dengan adanya teknik scrapbooking atau membuat buku skrap, anda bukan sekadar menyimpan maklumat dan memori anda untuk jangkamasa yang lama, malah anda boleh juga menjadikannnya sebuah hasil karya yang boleh dikongsi bersama sesiapa sahaja yang anda kehendaki.

Wednesday, May 20, 2009

Kad ucapan pop-up

Terdapat banyak jenis rekabentuk untuk kad pop-up, tetapi dalam artikel kali ini adalah jenis yang ringkas dan mudah.
Cara membuatnya:

1. Bahan-bahan yang diperlukan:

Gambarajah1

- Gam dan gunting
- Gambar photo- pastikan tidak melebihi hujung kad, atau ia akan terjulur keluar dan nampak tidak kemas
- Kad bersaiz A4 sebanyak dua keping - sama warna atau tidak
- Kertas untuk latarbelakang, sama ada kertas warna biasa, sampul pembalut atau keratan majalah
- Kertas biasa dengan pelbagai warna


2. Lipat kertas bahagian dalam, ukur jarak gambar 1 (photo) dan gambar 2 (kad warna untuk "caption")
Posisi gambar hendaklah tidak melebihi sempadan bahagian hujung kad. Tandakan jarak tapak gambar 1 dan 2 dari bahagian tengah kad (bahagian yang berlipat)

Gambarajah 2

3. Gunting pada bahagian bergaris putus dalam gambarajah di bawah. Buka lipatan dan lipat supaya menjadi seperti Gambarajah 5

Gambarajah 3



Gambarajah 4



Gambarajah 5


4. Potong kertas untuk latarbelakang seperti ditunjukkan dengan garisan putus-putus berwarna merah di bawah, dan tampalkan

Gambarajah 6


5. Tampalkan Gambar 1 dan Gambar 2 pada bahagian tegak seperti dalam gambarajah 7. Tuliskan teks ucapan dan tajuk kad seperti dalam gambarajah 9 menurut citarasa anda

Gambarajah 7




6. Hasilnya adalah seperti gambarajah 9


Gambarajah 9



7. Tampalkan kad lapisan dalam dan luar. Untuk bahagian luar, tampalkan keratan kertas warna untuk dijadikan corak yang anda suka. Akhir sekali buatkan teks untuk bahagian luar kad. Hasilnya seperti dalam gambarajah 10

Gambarajah 10



8. Kad pop-up pertama anda telah siap. Kad seperti ini sesuai untuk memberi personaliti kepada kad anda untuk orang tersayang, meskipun harganya tidak semahal kad-kad yang and beli dari kedai.